Ahad, 20 Disember 2009

Ketika dulu-dulu ....

Ketika dulu-dulu sekitar 60an sistem pengangkutan yang digunakan oleh orang ketika itu adalah bot dan keretapi. Pengangkutan jalanraya belum dibina meluas lagi. Jalanraya kalau adapun hanya di bandar-bandar dan jalanraya menghubung bandar-bandar utama.

Kampung ibuku bernama Kampung Jenderak, Kuala Krau Pahang. Kedudukan Kampung Jenderak adalah lebihkurang tiga puluh kilometer dari Bandar Temerloh. Perjalanan menaik kereta hari ini dari Kampung Jenderak ke Temerloh sekarang ini mengambil masa lebih kurang setengah jam. Dulu-dulu perjalanan ke Temerloh begitu susah dan payah. Perjalanannya pun mengambil masa yang panjang.

Sewaktu kecil dulu aku selalu pergi ke Temerloh. Kalau tidak mengikut ayahku, aku mengikut datukku. Datukku selalu ke Temerloh dengan bot. Perkhidmatan bot hanya ada pada hari Ahad sahaja iaitu hari ‘Pekan Sehari’ di Temerloh. Selepas sembahyang subuh aku dengn atukku sudah menunggu bot di ‘jamban’ (rakit tempat membuang air besar dan membasuh kain). Dalam kegelapan subuh, bot akan singgah disetiap’ jamban’ untuk mengambil penumpang. Kalau bot sudah penuh kena tunggu bot yang berikutnya. Setelah menaiki bot lebih kurang tiga jam barulah sampai ke Temerloh.

Ayahku selalu menaiki keretapi ke Temerloh. Kami terpaksa berjalan kaki selama satu setengah jam melalui hutan untuk ke ‘Slow’ (perhentian keretapi) yang bernama Seden.Bila keretapi sampai, ia akan berhenti selama satu atau dua minit sahaja. Keretapi mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit untuk sampai di Mentakab. Dari Mentakab kami ke Temerloh dengan menaiki bas.

Begitulah susah dan payah nya orang dulu-dulu untuk ke mana-mana. Tidak seperti dulu,kita hari ini mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan. Jaringan jalanraya berada di mana-mana. Kebanyakan orang punyai kenderaan sendiri. Setengahnya memiliki dua atau tiga kereta. Jika tidak ada kenderaan sendiri kita boleh gunakan kenderaan awam. Kita ada perkhidmatan bas, teksi, keretapi, komuter, LRT dan Monorel.

Kemana sahaja kita nak pergi kita mengambil masa yang singkat sahaja. Tetapi kalau manusia namanya, ada yang tidak tahu bersyukur di atas segla nikmat yang dikurniakan tuhan. Terdapat pemandu bila menaiki kenderaan hendak cepat sahaja. Bila ada yang mengganggu perjalanannya, maka marahlah dia dengan amat sangat. Ada yang sampai sanggup mencederakan pemandu-pemandu lain.

Sedih sungguh kita melihat senario ini. Semakin kita maju semakin kita angkuh dan hilang pedoman. Adakah bila kita sudah maju kita mahu membuang kemanusiaan kita. Contohi orang zaman dulu-dulu yang mengharungi perjalanan ke sesuatu tempat dengan begitu susah dah payah tetapi mereka tetap sabar dan tabah

1 ulasan:

  1. awok bila nak balik purun nya...air dah naik ni, nanti terlepas pegi ikut menjaring..

    BalasPadam