Selasa, 22 Disember 2009

BAYARAN TAMBAHAN 2010

Kementerian Pelajaran Malaysia telah menetapkan bayaran tambahan minimum yang perlu dilbayar oleh ibubapa dan penjaga pada sessi persekolahan 2010 yang akan datang.

Kerajaan sebelum ini dalam belanjawan 2008 yang dibentangkan oleh Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Hj.Badawi telah menghapuskan bayaran yuran persekolahan. Yuran persekolahan ketika itu adalah RM 4.50 bagi sekolah rendah dan RM 9.00 bagi sekolah menengah.

Berbanding dengan yuran sekolah yang kegunaannya adalah untuk pentadbiran sekolah, bayaran tambahan ini adalah diguakan bagi tujuan manfaat pelajar seperti bayaran insuran, sukan, peperiksaan dan kegiatan agama Islam.

Sekolah sebagai institusi pendidikan memerlukan dana yang besar dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti penting serta menyediakan beberapa perkhidmatan dan kemudahan tambahan kepada pelajar. Oleh itu ibubapa juga turut berperanan membantu sekolah dalam melaksanakan program-program yang dinyatakan tersebut.

Kementerian Pelajaran Malaysia, KPM melalui surat pekeliling ikhtisas bil 5/2009 telah menetapkan bayaran tambahan minimum sebanyak RM 24.50 di sekolah rendah dan RM 33.50 di sekolah menengah. KPM tidak menetapkan had bayaran maksima yang boleh dikenakan kepada ibubapa atau penjaga. Sekolah boleh menetapkan sendiri bayaran maksimum tersebut dengan persetujuan PIBG sekolah.

Jabatan Pelajaran Pahang pula melalui surat pekelilingnya telah menetapkan had bayaran maksima sebanyak RM 45.00 bagi semua sekolah di negeri Pahang. Oleh itu bayaran tambahan bagi sekolah-sekolah rendah di negeri pahang adalah di antara RM 24.50 dan RM 45.00. Sementara di sekolah menengah bayaran tambahannya pula adalah di antara RM 33.50 dan RM 45.00.

Bayaran tambahan ini akan mula dikutip sebaik sahaja sessi persekolahan 2010 bermula. Pada sessi persekolah 2009 yang lalu bayaran tambahan ini mula dikutip pada 1 Julai.

Dengan kutipan bayaran tambahan ini dibuat seawal sessi persekolahan bermula, adalah diharapkan semua ibubapa serta penjaga dapat menyempurnakan segala bayaran yang ditetapkan. Secara tradisinya ibubapa dan penjaga telah menyediakan kewangan secukupnya untuk keperluan persekolahan anak pada awal tahun.

Dalam keadaan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenakan langkah penjimatan perbelanjaan, bayaran tambahan yang akan dibuat ini adalah amat vital dalam menjayakan program-program yang dirancang pihak sekolah. Adalah diharapkan semua penjaga melaksanakan tanggungjawab ini.

Ahad, 20 Disember 2009

Ketika dulu-dulu ....

Ketika dulu-dulu sekitar 60an sistem pengangkutan yang digunakan oleh orang ketika itu adalah bot dan keretapi. Pengangkutan jalanraya belum dibina meluas lagi. Jalanraya kalau adapun hanya di bandar-bandar dan jalanraya menghubung bandar-bandar utama.

Kampung ibuku bernama Kampung Jenderak, Kuala Krau Pahang. Kedudukan Kampung Jenderak adalah lebihkurang tiga puluh kilometer dari Bandar Temerloh. Perjalanan menaik kereta hari ini dari Kampung Jenderak ke Temerloh sekarang ini mengambil masa lebih kurang setengah jam. Dulu-dulu perjalanan ke Temerloh begitu susah dan payah. Perjalanannya pun mengambil masa yang panjang.

Sewaktu kecil dulu aku selalu pergi ke Temerloh. Kalau tidak mengikut ayahku, aku mengikut datukku. Datukku selalu ke Temerloh dengan bot. Perkhidmatan bot hanya ada pada hari Ahad sahaja iaitu hari ‘Pekan Sehari’ di Temerloh. Selepas sembahyang subuh aku dengn atukku sudah menunggu bot di ‘jamban’ (rakit tempat membuang air besar dan membasuh kain). Dalam kegelapan subuh, bot akan singgah disetiap’ jamban’ untuk mengambil penumpang. Kalau bot sudah penuh kena tunggu bot yang berikutnya. Setelah menaiki bot lebih kurang tiga jam barulah sampai ke Temerloh.

Ayahku selalu menaiki keretapi ke Temerloh. Kami terpaksa berjalan kaki selama satu setengah jam melalui hutan untuk ke ‘Slow’ (perhentian keretapi) yang bernama Seden.Bila keretapi sampai, ia akan berhenti selama satu atau dua minit sahaja. Keretapi mengambil masa lebih kurang empat puluh lima minit untuk sampai di Mentakab. Dari Mentakab kami ke Temerloh dengan menaiki bas.

Begitulah susah dan payah nya orang dulu-dulu untuk ke mana-mana. Tidak seperti dulu,kita hari ini mempunyai pelbagai kemudahan pengangkutan. Jaringan jalanraya berada di mana-mana. Kebanyakan orang punyai kenderaan sendiri. Setengahnya memiliki dua atau tiga kereta. Jika tidak ada kenderaan sendiri kita boleh gunakan kenderaan awam. Kita ada perkhidmatan bas, teksi, keretapi, komuter, LRT dan Monorel.

Kemana sahaja kita nak pergi kita mengambil masa yang singkat sahaja. Tetapi kalau manusia namanya, ada yang tidak tahu bersyukur di atas segla nikmat yang dikurniakan tuhan. Terdapat pemandu bila menaiki kenderaan hendak cepat sahaja. Bila ada yang mengganggu perjalanannya, maka marahlah dia dengan amat sangat. Ada yang sampai sanggup mencederakan pemandu-pemandu lain.

Sedih sungguh kita melihat senario ini. Semakin kita maju semakin kita angkuh dan hilang pedoman. Adakah bila kita sudah maju kita mahu membuang kemanusiaan kita. Contohi orang zaman dulu-dulu yang mengharungi perjalanan ke sesuatu tempat dengan begitu susah dah payah tetapi mereka tetap sabar dan tabah

Khamis, 17 Disember 2009

Emas Bola, Syabas Malaysia

Syabas buat pasukan bolasepak kebangsaan kerana berjaya memenangi pingat emas bolasepak sukan SEA. Kejayaan yang diraih setelah kali terakhir memenanginya pada tahun 1981 iaitu dua puluh tahun yang lalu sangat-sangat dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan ini membuatkan rakyat malaysia begitu berbangga dan teruja sekali.

Bukan tujuan untuk memperkecil-kecil pasukan bolasepak Malaysia, semasa pasukan ini berangkat ke Vientien tidak ada peminat bosepak kebangsaan yang meletakkan harapan untuk pasukan bolasepak kita memenangi sebarang pingat. Hatta MSN sendiri meletakkan pasukan bolasepak bertanding di bawah kategori B iaitu pembiayaan sendiri.

Pasukan bolasepak kebangsaan kita telah begitu lama tenggelam. Mutu bolasepak negara begitu merosot. Peminat-peminat bola begitu kurang memberi perhatian kepada pasukan kebangsaan dan negeri-negeri. Peminat-peminat bola lebih meminati Liga-liga England, Sepanyol, Itali, Jerman dan lain-lain. Adalah diharapkan dengan kejayaan ini akan dapat menarik kembali perhatian peminat bola kepada bolasepak kebangsaan dan negeri.

Walaupun pada keseluruhannya pemain-pemain Vietnam lebih berpengalaman dan kemampuan, tetapi semangat dan sikap melawan pemain-pemain muda telah memberikan kemenangan kepada mereka. Syabas dicapkan kepada pemain-pemain muda kita di atas semangat dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.

Kita berharap kejayaan ini adalah satu permulaan kepada masa depan bolasepak negara yang lebih cerah. Pasukan bolasepak kebangsaan negara kira suatu ketika dahulu iaitu tahun 60an dan tahun 70an adalah antara pasukan yang handal di Asia. Kita sangat merindui perkara tersebut berlaku lagi kepada pasukan bosepak kebangsaan kita.

Kita tahu perkara tersebut bukan senang dicapai tetapi bukan sesuatu yang mustahil. Kita juga tidak mahu harapan yang begitu tinggi rakyat Malaysia akan memberi tekanan kepada pemain-pemain muda kita. Untuk berjaya kita mesti berciti-cita besar. Ciri-ciri pasukan yang berjaya ada ditunjukkan oleh pemain-pemain kita ini. Penulis yakin pasukan kebangsan masa depan yang kuat boleh dibina melalui mereka ini.

Selasa, 15 Disember 2009

Selamat Hari Lahir Sayangku


Selamat hari lahir yang ke 10 pada 15 Disember 2009 ini. Ayahanda doakan anakanda dilimpahkan kesejahteraan, kebahagiaan, kesihatan dan keselamatan. Tabah dan sabarkan menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup. Ayahanda juga mendoakan anakanda sentiasa sukses di dalam apa juga bidang yang anakanda ceburi. Renungilah pantun ayahanda ini:

Banyak melata si pohon temu
Menyemai padi dibuat emping
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Tumbuh merata si pisang embun
Ubi jaga dari seberang
Pangkat besar harta menimbun
Budi juga dipandang orang

Kalau kita hendak belayar
Bawa bersama roti kaya
Kalau kita rajin belajar
Tentu kita akan berjaya

Terang bulan di malam sepi
Cahaya memancar ke pangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa








PELUANG GURU MUDA MENINGKATKAN DIRI

Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin bin Mohd.Dom telah menyatakan bahawa guru-guru muda berpeluang menjadi pengetua atau guru besar tanpa mereka menunggu menjadi guru senior atau kanan.

Beliau menyatakan bahawa kritirea pemilihan pemimpin pendidikan tidak lagi diukur melalui senioriti atau pengalaman tetapi lebih kepada pencapian Petunjuk Prestasi Utama, KPI yang kini digunakan oleh semua kementerian dan jabatan kerajaan.

Menggunakan pengalaman sebagai kritirea pemilihan pemimpin pendidkan masa kini tidak lagi efektif. Faktor pengalaman sahaja tidak cukup untuk berdepan dengan pencabar-pencabar lain yang begitu hebat bersaing dalam dunia yang sungguh kompetatif ini.

Kejayaan sesebuah organisasi sekolah dewasa ini sangat berkait rapat dengan kemampuan dan kebolehan seseorang pemimpinnya membawa organisasi di bawah pimpinan maju kehadapan. Ia perlu mempunyai misi dan visi yang jelas, kepimpinan yang cemerlang, kreatif dan mempunyai idea terkehadapan.

Kepada guru-guru senior, janganlah menganggap ini sesuatu yang akan menutup peluang mereka menjadi pengetua atau guru besar. Sebaliknya guru-guru senior hendaklah menjadikan perubahan system ini sebagai satu cabaran yang menjadikan mereka juga adalah pemain-pemain yang hebat.

Guru-guru senior tidak dapat lari dari menjadikan diri mereka kompeten agar mereka tidak dilihat sebagai tunggul mati atau lembu mandul. Ini hakikat yang terpaksa kita terima jika kita masih ingin bergelar warga pendidik. Dengan kompetensi diri yang tinggi serta diadun dengan pengalaman yang dilalui sudah tentu guru-guru senior berada jauh di hadapaan di dalam persaingan ini!

Isnin, 7 Disember 2009

Selamat Hari Lahir Anakanda

8 Dis 2009. Ayahanda mengucapkan selamat hari lahir yang ke 29. Semoga pertambahan umur akan menambahkan lagi kematangan, pengalaman, kebijaksanaan dan keterampilan. Semoga dengan pertambahan perkara-perkara ini akan dapat membantu anakanda lebih cekal dan tabah melayari kehidupan yang penuh cabaran, dugaan dan pancaroba ini.

Ayahannda doakan semoga kehidupan anakanda dipenuhi dengan kebahagiaan dan kesejahteraan serta dimurahkan rezeki, panjang umur dan juga mendapat keberkatan Allah. Ayahanda doakan juga agar anakanda majujaya dalam kareer pekerjaan anakanda serta sukses dalam apa juga yang anakanda lakukan

Selain itu ayahanda nak ingatkan diri ayahanda dan juga anakanda supaya jangan kita lupa siapa kita, dari mana kita datang, ke mana kesudahan hidup kita ini. Tunaikanlah segala kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai individu, ketua keluarga dan yang terpenting sekali sebagai hamba Allah.

Ayahanda sentiasa mengingati dan menyayangimu.