Jumaat, 1 April 2011

Kemelut Tarian Poco-poco

Sejak minggu kebelakangan ini heboh di perkatakan polemik mengenai tarian Poco-poco yang difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang dipengerusikan Tan Sri Harussani Zakaria. Manakala dua orang tokoh agama iaitu Dr Mashitah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis memberi tarian itu pandangan tidak haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan terhadap fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi. "Poco-poco itu adalah muzakarah fatwa di Perak sahaja. Sehingga kini keputusan itu belum diwartakan. Bermakna selagi itu, ia tidak berkuatkuasa. Kalau berkuatkuasa pun ia hanya di Perak sahaja kerana ia bukan hasil dari keseluruhan muzakarah mufti," kata Mashitah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim berpendapat tarian poco-poco hanyalah sejenis tarian berbentuk senaman serta tidak perlu diharamkan di seluruh negara.

"Dari satu tempat ke satu tempat tarian poco-poco ini berbeza. Lagu pun tidak sama. Jadi besar kemungkinan ditimbulkan di Perak kerana di Perak tidak sama dengan tempat lain.

"Tapi di tempat-tempat lain yang saya sendiri perhatikan ia berbentuk lebih kepada senaman yang mana kalau nak buat aerobik itu pada orang tua mungkin agak agresif.Jadi poco-poco ini digunakan sebagai wadah untuk orang bersenam, itu yang saya lihatlah," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata tarian poco-poco, yang muncul polemik terbaru, tidak sewajarnya diharamkan melainkan seseorang itu mengamalkannya kerana ingin menghayati kepercayaan yang salah dari segi akidah Islam.

Oleh itu kata beliau, jika setakat tarian kesihatan atau biasa tanpa sebarang kepercayaan yang salah atau dicampuri perbuatan salah seperti arak, seks bebas dan seumpamanya, maka ia dibolehkan dari segi syarak dan tidak wajar diharamkan.

Tarian ini berkembang dengan cepat dan pesat di Malaysia. Ianya menjadi pilihan ramai kepada orang-orang yang ingin melakukan aktiviti aerobic. JAKIM dan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan tidak harus membiarkan orang ramai terus hanyut dalam kemelut dan polemik ini. Perkara akan mengundang pandangan negative yang akan menjadi bahan ejekan dan sendaan orang ramai terhadap ulama yang gagal mencapai kata sepakat dalam hal yang kecil sebegini.

Walaupun hal-hal agama adalah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri-negeri, tetapi demi memperlihatkan kesepaduan dan perpaduan islam di Negara ini satu fatwa yang seragam perlu diusahakan. Dengan berbekalkan semangat 1 Malaysia satu fatwa yang seragam adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan oleh pihak JAKIM.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan