Rabu, 15 Julai 2009

Di antara Burung, Cacing dan Manusia .....

Mari kita melihat bagaimana burung dan cacing dalam menghadapi kegetiran dan kesulitan hidup. Pertamanya burung, setiap hari mereka keluar dari sarangnya untuk mencari rezeki. Tidak pernah timbul di dalam benak mereka persoalan ke mana dan di mana harus ia mencari rezeki. Ianya hanya sekadar terbang mengikut gerak hatinya. Begitulah optimisnya sang burung apabila keluar mencari rezeki. Mungkin hari itu apabila pulang pada waktu petang perutnya kenyang disamping membawa pulang bekalan buat anak-anak di sarang. Mungkin hari itu ia hanya sekadar dapat mengisi perutnya sahaja tanpa membawa makanan untuk anak-anaknya. Mungkin hari itu ia pulang dalam keadaan 'berpuasa'.

Meskipun ia berdepan dengan keadaan yang sukar tidak mendapat makanan, tidak pernah burung ini kecewa dengan takdir yang menimpanya hari itu. Apa lagi untuk terlintas untuk menghantuk-hantuk kepalanya hingga berdarah untuk melahirkan kekecewaannya. Jangankan lagi disebut untuk membunuh diri.

Walau bagaimana susah sekali keadaan hidupnya, ia tidak pernah lupa dengan tugasnya setiap pagi untuk menceriakan alam ini dengan kicauannya. Begitulah cekalnya burung dalam menghadapi cabaran hidup. Ia sentiasa optimis dengan rezeki yang disediakan Allah. Ia amat faham tentang hakikat hidup, ada masa senang dan ada ketikanya susah.

Begitulah juga dengan kehidupan cacing, haiwan yang begitu dhaif jika dibandingkan dengan burung. Kalau burung mempunya sarang sebagai tempat perlindungan, cacing tidak pernah mempunyai sarang untuk berlindung. Ia tidak mempunyai kaki, tangan atau sayap untuk terbang. Bahkan ia tidak punyai mata dan telinga! Dunia ini semuanya gelap serta sunyi buat cacing.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan dan dhaif serta keupayaan yang terbatas, ia tetap optimis dengan rezeki yang disediakan Allah. Ia tetap mencari rezeki tanpa memikirkan keadaan dirinya. Apatah lagi untuk terlintas di fikirannya mempersoalkan keadilan Ilahi dalam menetapkan penciptaannya dalam keadaan sedemikian rupa! Tidak pernah juga ia menzahirkan kekecewaannya dengan mengambil tindakan mencederakan diri. Apatah lagi untuk membunuh diri.

Kita lihat pula bagaimana manusia dalam menghadapi kesukaran dan kegetiran hidup. Sebahagian dari manusia cepat merasa kecewa dan putus asa apabila diuji Allah dengan pelbagai kesusahan dan masalah. Manusia mengambil berbagai tindakan untuk melahirkan kekecewaannya. Ada yang mengambil pelbagai tindakan negatif terhadap orang lain seperti dengki, kianat seta sabotaj. Ada yang mengambil tindakan negatif terhadap diri sendiri seperti mengambil dadah dan meminum arak. Yang lebih teruk pula ada yang mencederakan diri sendiri. Dan yang paling teruk pula ada yang sampai menamatkan hidup di atas muka bumi ini. Betapa lemahnya jiwa dan akal manusia jika dibandingkan dengan burung dan cacing. Jika dibandingkan dengan burung dan cacing, manusia dikurniakan Allah terlalu banyak kelebihan.

Sememangnya manusia adalah merupakan ciptaan Allah yang terbaik. Ini dinyatakan Allah di dalam firmannya,"Sesungguhnya Kami jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian", At-Tin ayat 4. Allah kurniakan manusia dengan anggota badan dan pancaindera yang hebat yang dengannya boleh menguasai dunia. Semuanya itu dapat dilakukan jika ia memfaatkan segala potensi yang ada pada dirinya.

Ambil saja otak manusia. Mengikut pakar pengkaji manusia, pada otak terdapat 1o bilion sel yang dinamakan neuron. Setiap neuron itu boleh menyimpan satu maklumat. Bayangkan banyak mana maklumat boleh disimpan oleh otak mnanusia. Maka tidak hairanlah adanya sahabat-sahabat nabi dahulu mampu mengingati semua isi Al-Quran serta mengingati beribu-ribu hadis nabi!

Mengikut pakar pengkaji manusia juga, manusia boleh menguasai 200 kemahiran dengan menggunakan anggota badan. Oleh sebab itu terdapat manusia yang boleh menguasai kemahiran pelbagai bidang. Ibnu Sina contohnya, selain dari seorang doktor ia jua seorang pelayar dan juga seorang ahli falsafah.

Dengan segala yang dikurniakan Allah kepada manusia, tidak ada sebab manusia tidak boleh memperolehi segala nikmat Allah di muka bumi ini yang sememangnya disediakan untuk manusia. Yang pentingnya kita berusaha. Tepuk dada tanya iman!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan